Monday, June 1, 2009

Wajarkah kita memilih Pakatan Rakyat?

PAS dan PKR masing-masing mempunyai tuntutan sendiri di Perak. Bertelagah dan memporak-perandakan kerajaan negeri dan mengheret sultan ke dalam konflik politik. DAP juga tidak mahu ketinggalan. Inilah masa sesuai untuk menyelitkan konsep ketuanan rakyat ala Malaysian Malaysia yang menolak sistem kerajaan beraja yang diamalkan di negara kita sejak dulu lagi.

Raja kita dipersendakan. Keputusannya diperlekehkan. Sebagai rakyat, apakah kita setia kepada raja atau orang-orang yang mempunyai karier politik? Tidak semua negeri ada sultan yang melambangkan kedaulatan kesultanan melayu. Tetapi sekarang ‘kedaulatan’ itu dicemari oleh puak yang mempunyai kepentingan dalam politik. Merekalah raja bagi penyokong Pakatan Rakyat sekarang. Kononnya Pakatan Rakyat memperjuangkan kuasa rakyat. Satu soalan, sejak bila raja ataupun sultan menidakkan suara rakyat dalam menentukan apa yang terbaik kepada rakyat di negeri naungannya? Apabila parti yang menjalankan urusan politik di Perak terumbang-ambing, sentiasa ada masalah dalaman kepimpinan sehingga 3 ADUN mereka meninggalkan barisan pakatan mereka, siapakah yang paling berhak bertindak sebagai hakim untuk memulihkan keadaan? UMNO adalah parti yang paling banyak dipilih rakyat negeri Perak.

Bila masa rakyat memilih parti DAP atau parti PKR atau parti PAS sebagai majoriti? Penggabungan PAS dan DAP adalah satu kerjasama berpura-pura pemimpin mereka. Takkan orang tidak tahu siapa DAP yang menolak Islam sebagai teras kepimpinan dalam negara kita? Penggabungan PAS dan Pakatan PKR-DAP adalah untuk kepentingan politik mereka, bukan untuk Islam kerana mereka cukup sedar pemimpin-pemimpin DAP tidak menerima apa yang mereka perjuangkan. Jadi untuk siapa ia sebenarnya?Jika kita lihat, rakyat sekarang begitu mudah terpedaya dengan persepsi yang direka Pakatan Rakyat. Tidak mustahil satu daerah penduduk membuat kesilapan besar dengan menghakimi sesuatu cuma berdasarkan apa yang mereka dengar.

Pernah tak kita dengar kejadian penduduk kampung yang melakukan jenayah membelasah beramai-ramai sehingga membunuh seorang pemandu hanya kerana satu kemalangan yang tidak disengajakan? Adakah kesemua mereka yang turut membelasah itu menyaksikan kejadian sebenar? Itulah persepsi. Cerita tersebar dari satu mulut ke satu mulut yang akhirnya meransang tindakan tidak rasional gara-gara dikuasai emosi. Keadaan sama juga berlaku dalam politik di negara kita. Rakyat bertindak mengikut apa yang mereka dengar. Mudah terpengaruh lebih-lebih lagi cerita gosip yang jarang didengar.

Rakyat Malaysia suka pada bahan gosip. Suka mengumpat. Suka menyibuk. Tak boleh senang bila dengar cerita buruk dan mudah percaya terutama yang disebarkan sahabat handai atau orang-orang yang rapat. Itulah sifat yang ada pada masyarakat kita sekarang. Tidak perlulah orang luar mengapi-apikan permusuhan dalam negeri Perak. Biar sultan yang tentukan apa yang terbaik buat negerinya dengan adil. Itupun untuk kebaikan rakyatnya juga. Bukan untuk kebaikan dan kepentingan ahli-ahli politik Pakatan Rakyat. Mereka nampak sangat mabuk kuasa sehingga sanggup melakukan perbagai perbuatan tidak matang sejak digugurkan daripada menjadi parti yang memerintah.

Negara kita negara yang beraja. Jika semua ADUN Pakatan Rakyat di negeri Perak pernah melafazkan sumpah setia kepada raja, mengapa sekarang mengingkarinya? Mereka bersumpah di depan pemimpin-pemimpin tertinggi dan rakyat jelata dalam satu istiadat, bukannya cuma cakap-cakap seperti di dalam ceramah. Sekarang, kepada raja atau sultan pun mereka ingkar, inikan pula dengan lafaz janji mereka kepada rakyat. Bolehkah kita mempercayai mereka semua ini?